Difahamkan, lelaki tersebut semasa kejadian melalui Jalan Ang Cheng Ho sebelum dikatakan tiba-tiba memberhentikan kenderaannya di tengah jalan selepas mendapati satu daripada tong gas ‘acetylene’ yang dibawanya mengalami kebocoran sekitar jam 11 pagi semalam.
Menurut saksi, lelaki tersebut dilihat bergegas keluar dari pikap jenis Mitsubishi Triton itu sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan pikap tersebut terbakar.
Pemandu pikap tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, menurut jurucakap bomba, beberapa anggota dari Balai Bomba Padungan termasuk anggota dari Unit ‘Hazadous Materials’ (HAZMAT) dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.22 pagi dan operasi seterusnya tindakan HAZMAT untuk mengosongkan kandungan gas dalam silinder yang mengalami kebocoran,” katanya.
Selain itu, beberapa bangunan berdekatan tempat kejadian turut terjejas akibat letupan tersebut dan seorang lelaki mengalami kecederaan ringan setelah terkena serpihan kaca.
“Seorang mangsa mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan kaca tingkap yang pecah ekoran letupan yang berlaku,” kata jurucakap bomba. -The Borneo Post