Setelah sekian lama berdolak-dalik, akhirnya pasangan artis, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal membuat pengakuan bahawa mereka sebenarnya telah bernikah pada awal 2012 lagi.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 25, berkata, dia dan Wawa, 22, telah bernikah pada 25 Februari 2012 secara rahsia, tanpa mengumumkan kepada pihak luar.
Bagaimanapun, atas permintaan keluarga pihak perempuan, mereka sekali lagi bernikah pada 24 Ogos lalu di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor.
"Kami telah pun bernikah. Justeru, status anak kami yang sebenarnya sudah terjawab," kata Aeril kepada pemberita dalam satu majlis yang diadakan di sebuah restoran di Neo Damansara, di sini hari ini.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Ahmad Fakhruddin Attar pada 24 Ogos lalu.
Sebelum ini baik Aeril mahupun Wawa enggan berterus terang soal status mereka sehingga mengundang pelbagai kisah sensasi.
Malah, Wawa menjadikan alasan dihimpit 'penyakit misteri' sebagai alasan untuk bercuti daripada melakukan aktiviti seni daripada majikannya, Metrowealth International Group, ketika dia sedang mengandung.
Pasangan ini beberapa kali berdolak-dalik dan memberi pelbagai alasan kepada pihak media berhubung status mereka meskipun pihak media telah berjaya mendedahkan status sebenar pasangan tersebut. - UTUSAN ONLINE